Dua lelaki cedera dilibas dengan parang dalam pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan di Kampung Wakaf Tapai, Marang tengah malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam yang melibatkan 16 individu termasuk seorang wanita, dipercayai mengenai masalah hutang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan berkata anggota satu kumpulan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita diserang dengan pedang dan parang oleh kumpulan yang satu lagi.
Beliau berkata ekoran itu dua lelaki yang berusia 32 dan 23 tahun cedera di pergelangan tangan serta belakang.
“Kita berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 17 tahun kira-kira pukul 2 pagi tadi ketika mereka datang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Manoharan berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui dua bilah pedang, parang, buku lima serta badik yang dipercayai digunakan dalam kejadian pergaduhan itu, di dalam sebuah kereta.
Kedua-dua anggota kumpulan dipercayai berasal dari Kuala Terengganu dan Marang berusia antara 20-an hingga 30-an.
“Kita telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dan kita nasihatkan mereka agar menyerahkan diri di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama
0 comments:
Post a Comment