MELIHAT carta suhu minimum dan maksimum yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini membuatkan penulis tertanya-tanya adakah negara kita sedang mengalami musim sejuk dan bakal dilanda salji?
Mungkin agak aneh, tetapi tidak mustahil kerana kawasan tinggi di Indonesia dan Vietnam sudah pun mengalaminya.
Memetik laporan Berita Harian, suhu sejuk tersebut berpunca daripada luruan udara sejuk dari tanah besar China (tekanan tinggi) yang bergerak ke Laut China Selatan.
Keadaan ini biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut.
Menurut Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan/Terengganu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jenuwa Husin, Kuala Krai di Kelantan merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celsius.
Ia sekaligus mencatatkan rekod pertama seumpamanya di Pantai Timur.
Berbalik kepada persoalan adakah Malaysia akan dilanda salji seperti yang berlaku di negara jiran, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa negara ini tidak akan mengalami fenomena tersebut kerana kedudukannya yang berada di garisan khatulistiwa.
Secara ringkasnya, Malaysia akan menerima cahaya matahari yang banyak sepanjang tahun.
Fenomena yang melanda beberapa negara yang selama ini tidak pernah atau sudah lama tidak dilanda salji dipanggil ‘zaman ais mini’ yang berpunca daripada aktiviti matahari yang berada di tahap minimum.
Ia menyebabkan tompok letusan solar pada permukaan matahari berkurangan dan matahari menyejuk.
Jadi, bagi mereka yang menyimpan impian untuk bermain salji di negara ini, anda mungkin boleh melupakannya.
Tetapi, apa sahaja boleh berlaku dengan izin-Nya. Betul tak?
0 comments:
Post a Comment